Rahmad Mega

  • Heavy Metal
  • Rock & Roll
  • Rock Balada
Pekerjaan
  • Penyanyi
  • Pelakon
  • Usahawan
InstrumenVokalTahun aktif1989–kini
Syarikat rakaman
  • Arek Sdn. Bhd. (ASB)
  • Jojo's Production
  • Ambang Klasik
  • Alternate Records & Talents
Pengkarya berkait
  • Mega
  • Gerimis
  • Utama
  • LY & Baiduri
  • Rahim Othman
  • Exists
  • Ezad Lazim

Haji Rahmad bin Tohak (lahir 19 Disember 1969) atau lebih dikenali sebagai Rahmad Mega ialah seorang penyanyi dan pelakon yang terkenal di Malaysia sejak tahun 1991. Beliau mula dikenali ramai setelah menyertai kumpulan rock terkenal iaitu Mega pada tahun 1991 dengan lagu hitnya, Takdir Dan Waktu. Sebelum menyertai Mega, Rahmad telah memulakan kariernya sebagai vokalis kumpulan Gerimis pada tahun 1990.

Latar Belakang

Beliau dilahirkan pada (1969-12-19) 19 Disember 1969 (umur 54) di Johor Bahru, Johor Darul Takzim dan menerima pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru dari tingkatan tiga hingga tingkatan lima.

Bidang Nyanyian

1987-1990: Malam Dan Gerimis

Setelah tamat alam persekolahan, Rahmad (ketika itu dikenali sebagai Aily) yang tinggal di Felda Cahaya Baru, Masai, Johor mula bergiat aktif dalam bidang muzik dengan menyertai sebuah kumpulan yang diberi nama Malam dan sering mengadakan persembahan di majlis-majlis perkahwinan di sekitar Masai. Pada masa yang sama, Aily bersama rakan-rakannya mula mengintai peluang-peluang yang ada dalam usaha mereka untuk menjadi artis rakaman.

Berita tentang satu ujibakat yang dikendalikan oleh PolyGram telah sampai ke pengetahuan mereka. Tanpa berlengah, Kumpulan Malam hadir ke ujibakat tersebut untuk mencuba nasib. Namun sebaliknya pula berlaku apabila Polygram hanya menerima Aily seorang sahaja sebagai artis baharu mereka, membuatkan Aily terpaksa menolak tawaran tersebut kerana tidak mahu meninggalkan rakan-rakannya.

Kemudian atas jemputan daripada sebuah syarikat pembinaan yang mula berjinak-jinak dalam industri muzik iaitu ASB, Malam pergi ke Kuala Lumpur untuk melihat sendiri proses rakaman album kumpulan Bahtera yang dilakukan di Studio Booty Boys. Disebabkan sesi rakaman album Bahtera siap lebih awal dari masa yang ditetapkan, maka syarikat ASB telah menjemput kumpulan Malam untuk merakamkan demo tape 10 lagu mereka untuk mencukupkan baki 24 jam sewaan studio yang ditinggalkan kumpulan Bahtera. Siap sahaja rakaman 10 lagu itu, Kumpulan Malam pulang ke kampung halaman membawa harapan agar mereka akan mendapat tawaran untuk merakamkan album.

Setahun kemudian, mereka telah dipanggil oleh ASB untuk menandatangani kontrak album. Untuk menjimatkan masa, ASB terus sahaja menggunakan rakaman demo tape 10 lagu tersebut untuk dimuatkan dalam album sulung mereka. Nama Malam juga telah ditukar kepada Gerimis oleh pemilik ASB, Encik Arek tanpa pengetahuan mereka. Album sulung Gerimis ini memuatkan 2 lagu hit iaitu Kenangan Lalu dan Rindu Semalam. Biarpun lagu Rindu Semalam tercalon dalam Muzik-Muzik '90, album mereka mencatatkan jualan yang kurang memberangsangkan ekoran persaingan sengit antara kumpulan-kumpulan rock pada ketika itu serta kurangnya promosi daripada pihak pengurusan. Hal ini membuatkan ahli-ahli Gerimis berasa amat kecewa dan kumpulan ini serta-merta berpecah. Aily pula kemudiannya bekerja di sebuah kilang memproses minyak sawit di Pasir Gudang, Johor.

1991-1996: Mega & Kemuncak Karier

Ketika Aily bekerja di kilang tersebut, seorang wartawan hiburan telah berjumpa dengannya dan memberitahu ada sebuah kumpulan rock dari Johor Bahru sedang mencari vokalis baharu kerana penyanyi asalnya keluar dari kumpulan dan sudahpun mempunyai satu album. Pada mulanya Aily tidak mengendahkan tawaran tersebut kerana baginya tiada apa yang membanggakan kerana beliau juga mempunyai satu album. Namun, pujukan ibunya telah membuatkan Aily pergi berjumpa dengan anggota kumpulan tersebut di sebuah studio yang terletak di Batu 5.

Pada waktu inilah Aily menyedari bahawa kumpulan rock yang hendak mencarinya ialah Mega yang pada saat itu popular dengan lagu Pasti dan Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara. Mega yang pada ketika itu dianggotai oleh Adie, Sam, Mad serta pemain dram baharu mereka, Munir sering menggunakan khidmatnya ketika mengadakan persembahan di Johor biarpun tidak memilihnya secara rasmi. Akhirnya setelah hampir enam bulan menunggu, barulah Aily diumumkan sebagai vokalis Mega menggantikan vokalis asalnya, Zarith. Sejak itu, Aily lebh dikenali peminat dengan nama pentas baharunya iaitu Rahmad Mega.

Bersama Mega, nama Rahmad mula dikenali dengan lagu-lagu hitnya seperti Takdir Dan Waktu, Bayangan Gurauan, Suara Cinta dan Nina Karina.

Kerjaya Solo

Kini, Rahmad masih aktif menyanyi meskipun bergerak secara solo. Pada tahun 2013, beliau telah bergabung dengan empat penyanyi lelaki hebat lain iaitu Zamani SlamSaleem IklimAli XPDC/Terra Rossa dan Aris Ariwatan menjayakan sebuah konsert iaitu Konsert Gegar 5 Legenda bertempat di Istana Budaya. Konsert ini mendapat sambutan yang cukup hebat dari peminat-peminat para penyanyi 'otai' tersebut dan membuktikan mereka tidak tergugat walaupun industri muzik Malaysia semakin dibanjiri penyanyi-penyanyi baru.

Pada tahun 2014 Rahmad telah menyertai satu program realiti TV berjudul Gegar Vaganza yang menghimpunkan penyanyi-penyanyi berpengalaman lebih 10 tahun untuk berentap meraih gelaran juara. Beliau berjaya menempatkan diri di pusingan akhir dan menduduki tempat keempat.

Beliau juga telah menghasilkan album mininya yang berjudul Hujan pada hujung tahun 2014 di bawah label syarikat Kelarai Sakti Sdn. Bhd. di mana syarikat tersebut diterajui oleh komposer LY, orang yang bertanggungjawab menghasilkan lagu Mega yang paling berhantu iaitu Bayangan Gurauan. Selapas ini beliau merakamkan beberapa single solo.

Pada tahun 2017, Rahmad merakamkan lagu duet berjudul SAJADAH KAABAH bersama suara peninggalan penyanyi lagenda Indonesia , Allahyarham Deddy Dores sebelum allahyarham meninggal dunia. Selain itu, beliau kini menguruskan perniagaan sendiri sebagai kerja tetapnya.

Bidang Lakonan

Rahmad turut mencuba bakat dalam bidang lakonan. Penampilan pertamanya dalam drama komedi khas raya berjudul Lontong arahan Azwan Ali pada tahun 1995.

Diskografi

Kumpulan Tahun Judul Album Penerbit Label Edaran Jualan
Mega
1991 Ilustrasi Rahim Othman Jojo's Production BMG Pacific
1993 Rentak Kaki Lima Mega & Mat Penang Jojo's Production BMG Pacific
1994 Kita Mega Jojo's Production Pony Canyon
1996 Megalomania Jojo's Production Life Records
2001 Potret Jojo's Production Nova Music
Utama
1997 Utama Ambang Klasik Ambang Klasik

Singe

  • Pejam (2023)
  • Pemburu Rindu (2023)

Filemografi

Drama

Tahun Tajuk Watak Saluran TV Catatan
1995 Lontong Selamat TV3 Drama pertama
2023 Misteri Flat Kirana Pak Taza
Geng Daddy Daddy Sham
Gadis Muzikal Kurt

Keluarga

Beliau mendirikan rumahtangga bersama isteri pertamanya Norfaizah Ahmad dan dikurniakan empat orang cahaya mata. Kemudiannya beliau berkahwin kali kedua dengan seorang pelakon, Ainina Ahmad B namun jodoh mereka tidak berpanjangan apabila mereka bercerai sekitar tahun 2011. Hasil perkongsian hidup beliau bersama bekas isterinya, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.

Gegar Vaganza

Konsert Tema Lagu (penyanyi asal) Ked.
Minggu 1 Throwback "Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara" (Mega)
Minggu 2 Memori Berkasih "Final Countdown" (Europe)
Minggu 3 Kenangan Mengusik Jiwa "Merisik Khabar" (Dato' Sudirman)
Minggu 4 Ada Berani? "Aku Penghibur" (Jamal Abdillah)
Minggu 5 Impian Dan Dedikasi "Bayangan Gurauan" (Mega)
Minggu 6 Berdua Lebih Baik "Terharu" (Mawi & M. Nasir)
Minggu 7 Carta Lagu Hits "Alasan Untuk Bahagia" (Asfan)
Minggu Akhir Akhir "Suara Cinta" (Mega) / "Di Sudut Kamar Hatiku" (Jamal Abdillah) 4th place
"Kalau Aku Kaya" (Awi Rafael & Altimet)

Terpaling Juara

Konsert Tema Lagu (penyanyi asal) Ked.
Minggu 1 Game On "Bayangan Gurauan" (Mega) 1st
Minggu 2 3 Dekad "Merisik Khabar"
(Dato' Sudirman)
3rd
Minggu 3 Cinta "Ghazal Untuk Rabiah" (Jamal Abdillah & M. Nasir) 2nd
Minggu 4 Kapten "Jampi"
(Hael Husaini)
3rd
Minggu 5 Vice Versa "Bunga" (Ara Johari) Saved
Minggu 6 Duet "Keliru" (Ajai & Nurul) 2nd
Minggu 7 Band "Kejoraku Bersatu" (Search) 1st
Minggu Akhir Finale "Ku Akui" (Hafiz Suip) Juara
"Di Penjara Janji" (Dato' Awie)

Rujukan

  • Orang Indonesia pun mengaku kalah dengan muzik kita
  • Rahmad Mega Tidak Terkilan Komen Ramli MS
  • Siapa juara Gegar Vaganza?
  • Rahmad Mega kembali
  • Rahmad Mega kini CEO